loading...
Sultan Johor Dipuji Aswaja
Pengharaman terhadap Ustaz Haslin dan Mufti Menk daripada berceramah di Johor boleh menyelamatkan negeri itu daripada sebarang fahaman agama yang menyeleweng dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam, kata Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).
Sehubungan dengan itu, Aswaja turut berharap langkah yang diambil Johor itu akan menjadi ikutan kepada majlis agama Islam di negeri-negeri lain.
Presiden Aswaja, Dr. Zamihan
“Aswaja amat berharap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang lain turut proaktif dan berani menyekat kemasukan penceramah yang membawa fahaman agama yang mengelirukan demi mempertahankan kesucian agama Islam yang suci,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Gempar baru-baru ini apabila Sultan Johor mengikut jejak langkah Singapura yang mengharamkan pendakwah tempatan, Ustaz Haslin dan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk, daripada menyampaikan ceramah agama di Johor.
Kredit foto : Free Malaysia Today
Menurut Aswaja, tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) itu adalah bertepatan dengan ketegasan Sultan Johor yang sama sekali tidak mahu membenarkan pengaruh fahaman selain Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bertapak di negeri itu.
Johor juga adalah antara negeri yang mengeluarkan fatwa menolak fahaman Wahabbi kerana ianya boleh menimbulkan kecelaruan dan merosakkan keutuhan pegangan agama, perpaduan ummah dan keamanan serta keselamatan negara.
“Ketegasan Sultan Ibrahim dan langkah berani MAIJ mampu memastikan negeri Johor sentiasa harmoni dan bebas daripada sebarang fahaman agama yang menyimpang dan mencetuskan kecelaruan dalam kalangan umat Islam”, tambah Aswaja.
Aswaja dipercayai merujuk kepada larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Johor terhadap 16 penceramah agama yang dilarang berdakwah di negeri itu kerana tidak mengikut kriteria Ahli-Sunnah Wal Jamaah.
Sebuah dokumen daripada MAIJ yang tersebar mendedahkan nama Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan penceramah bebas, Fathul Bari Mat Jahya, yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia serta beberapa pendakwah lain yang dikatakan berfahaman Wahabbi.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Sumber foto : BERNAMA
Kenyataan Aswaja itu juga menyebut fahaman yang bertentangan dengan ASWJ seperti Wahhabi, Syiah, Bahai, Qadyani, liberalisme dan pluralisme agama kini semakin agresif bertapak dalam kalangan umat Islam melalui pelbagai cara.
Semoga Allah terus melindungi akhlak masyarakat Muslim di negara ini daripada sebarang fahaman yang menyimpang dari jalan-Nya.
loading...
0 Response to "Pertubuhan Ahli Sunnah Wal-Jamaah Malaysia (Aswaja) Puji Tindakan Sultan Johor Haramkan Penceramah Berfahaman Wahabbi Dan Menyeleweng"
Post a Comment